Selepas dibuka untuk tempahan minggu lalu, GWM Tank 500 sekali lagi dipamerkan kepada khalayak semalam dalam sebuah acara bersama media. Ini merupakan penampilan umum yang kedua selepas pertama kali ia ditunjuk ketika KLIMS 2024 pada Disember lalu.
Bakal dilancarkan tahun ini, Tank 500 merupakan saingan terdekat bagi model SUV besar seperti Ford Everest/Toyota Fortuner dari segi kapasiti enjin, atau bahkan jika melihat kepada siluet penampilannya, ingin menyaingi Toyota Land Cruiser.
Berukuran 4,928 mm panjang, 1,934 mm lebar dan 1,905 mm tinggi, Tank 500 ini 160 mm lebih panjang, empat milimeter lebih lebar dan dua milimeter lebih tinggi berbanding Tank 300, sementara jarak rodanya 2,850 mm iaitu 100 mm lebih panjang.
Versi yang akan ditawarkan di Malaysia adalah model hibrid sama seperti yang dijual di Thailand. Harga anggarannya ketika ini ialah RM350,000, dengan jangkaannya hanya satu varian akan ditawarkan, iaitu versi yang paling lengkap Ultra di negara jiran itu — seperti juga dengan unit yang anda lihat ini.
Sistem janaannya menggandingkan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 244 PS dari 5,500 rpm hingga 6,000 rpm dan dan tork 380 Nm dari 1,700 hingga 4,000 rpm, serta sebuah motor elektrik 106 PS/268 Nm. Gabungan sistem ini menghasilkan kuasa keseluruhan 346 PS dan 648 Nm, dan disalurkan menerusi transmisi HAT (Hydraulic Automatic Transmission) automatik sembilan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.
SUV tujuh-tempat duduk ini mempunyai 11 mod pemanduan serta electric differential locks hadapan dan belakang serta mechanical locking centre differential. Ia juga ada fungsi “tank turn”, sistem kawalan kelajuan off-road, pengesan kedalaman air dan Body Transparent System, yang mana ia menggunakan kamera untuk superimpose imej jalan di bawah dan hadapan kenderaan untuk meningkatkan pandangan terhadap permukaan jalan yang dilalui.
Kelengkapan standard yang ditawarkan termasuklah lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, lampu belakang LED, kamera undur, pemijak sisi yang boleh dilaras secara kuasa, dan roda aloi 20-inci. Untuk ruang kabinnya, ia diberikan paparan instrumen digital 12.3-inci dan skrin sentuh infotainmen 14.6-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, serta balutan kulit Nappa quilted dan tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu.
Selain itu, ia juga diberikan sistem kawalan suhu tiga-zon, sistem bunyi Infinity 12-pembesar suara, tirai matahari untuk barisan kedya dan juga perehat belakang larasan kuasa untuk barisan ketiga. Bagi barisan ketiga, terdapat juga butang untuk melipat dan membuka tempat duduk di bahagian itu secara elektrikal dengan hanya menekan satu butang sahaja.
Aspek keselamatan dan kelengkapan bantuan pemandu Tank 500 hadir dengan brek kecemasan autonomous AEB, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi Stop and Go, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek auto dan Wisdom Dodge System untuk mengerakkan SUV ini ke tepi luar lorong bagi memberi ruang kepada kenderaan besar dan motosikal.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
#GWM #Tank #HEV #SUV #tujuhtempat #duduk #2.0T #hibrid #ditunjuk #lagi #Malaysia #sebelum #pelancaran
Discover more from CRAFTD FOR LIFE
Subscribe to get the latest posts sent to your email.